Takrif dan fungsi kesusasteraan Melayu serta manifestasi akal budi dalam puisi Melayu

1.0 Pengenalan

Kesusasteraan Melayu merupakan salah satu khazanah budaya yang kaya dengan nilai, falsafah dan sejarah yang membentuk jati diri bangsa. Puisi tradisional dan moden jelas menunjukkan keindahan pemikiran dan kearifan masyarakat tempatan yang diwarisi sejak sekian lama. Dalam setiap bait pantun, syair, gurindam dan hikayat, terselit kebijaksanaan nenek moyang kita dalam menyampaikan nasihat, sindiran halus, serta cerita yang menghidupkan imaginasi. Oleh itu, blog ini akan membawa anda menyelami keunikan kesusasteraan Melayu, memahami fungsinya dalam kehidupan dan melihat bagaimana warisan ini masih relevan dalam dunia kontemporari hari ini. Dalam blog ini, saya akan menghuraikan takrif dan fungsi kesusasteraan Melayu serta manifestasi akal budi masyarakat Melayu dalam puisi Melayu tradisional.

2.0 Takrif, Jenis, Bentuk dan Ciri-ciri Kesusasteraan Melayu

Takrif Kesusasteraan Melayu

Kesusasteraan bermaksud hasil seni dengan unsur keindahan dan nilai estetika yang disampaikan melalui bahasa sama ada dalam bentuk tulisan atau lisan. Pusat Rujukan Persuratan Melayu Dewan Bahasa Dan Pustaka mentakrifkan kesusasteraan sebagai karya seni yang ditulis dalam bentuk karangan bebas atau dalam bentuk puisi. Kesusasteraan merupakan perkataan yang berasal daripada bahasa Sanskrit di mana "su" bermaksud indah atau baik, manakala "sastera" merujuk kepada huruf atau buku. Penambahan imbuhan ke- pada awal dan imbuhan -an pada akhir kata susastera menjadikan maknanya lebih khusus, iaitu kumpulan buku yang indah bahasanya dan baik isinya. Dalam tradisi sastera Melayu, makna kesusasteraan itu sendiri mencerminkan sifat indah yang ada pada karyanya. Kesusasteraan Melayu dalam konteks pendidikan pula ialah karya asal yang tertulis dalam bahasa Melayu yang mengandungi unsur keindahan dan kehalusan sama ada berbentuk novel, cerpen, drama, sajak, prosa tradisional atau puisi tradisional bagi mengimbangkan antara intelek, rohani, emosi dan jasmani di samping turut menunjukkan nilai kemanusiaan. Secara keseluruhannya, kesusasteraan Melayu boleh ditakrifkan sebagai hasil karya masyarakat Melayu yang mencerminkan budaya, nilai dan pemikiran masyarakat Melayu dengan menggunakan kata-kata yang indah.













Jenis, Bentuk dan Ciri Kesusasteraan Melayu

Kesusasteraan Melayu merangkumi pelbagai jenis dan bentuk kerana setiap karya sastera mempunyai unsur-unsurnya tersendiri yang membentuk pola serta tujuan berbeza. Dalam kesusasteraan Melayu, terdapat empat jenis utama, iaitu prosa tradisional, prosa moden, puisi tradisional, dan puisi moden. Setiap jenis serta bentuk karya sastera mempunyai ciri-ciri khusus yang membezakannya.



Kesusasteraan Melayu terbahagi kepada empat jenis iaitu prosa tradisional, prosa moden, puisi tradisional dan puisi moden

1Prosa tradisional

Prosa tradisional merupakan salah satu karya sastera yang masih wujud hingga ke hari ini. Pada awal kemunculannya, prosa tradisional banyak dipengaruhi oleh ajaran Hindu dan Buddha yang menyebabkan karya tersebut kurang mendapat sambutan kerana menggunakan bahasa Sanskrit dan Melayu Kuno yang sukar difahami oleh masyarakat umum. Selain itu, banyak cerita yang disampaikan tentang dewa-dewa dalam prosa tersebut yang menjadikannya kurang mendapat tempat di hati masyarakat Melayu ketika itu.

Namun, keadaan ini berubah selepas kedatangan Islam pada abad ke-16. Prosa tradisional telah berkembang dengan pesat disebabkan oleh kewujudan tulisan Jawi yang menjadi sistem tulisan utama masyarakat Melayu Islam. Pada peringkat awal, kesusasteraan Melayu wujud daripada penceritaan lisan, iaitu pembawaan cerita dari mulut ke mulut sebelum munculnya tradisi bertulis. Kisah-kisah yang disampaikan secara lisan ini telah mengalami proses evolusi. Karya secara lisan tersebut berubah kepada bentuk bercetak dan dibukukan untuk dijadikan panduan serta khazanah generasi seterusnya bagi memperlihatkan identiti dan budaya masyarakat Melayu (Muhammad Irfan Waqiuddin & Muhd Norizam, 2021).

Sehingga ke hari ini, prosa tradisional kekal sebagai warisan sastera yang berharga. Karya ini bukan sahaja berfungsi sebagai sumber ilmu dan hiburan, tetapi sebagai cerminan kehidupan masyarakat Melayu pada zaman dahulu. Melalui prosa tradisional, generasi kini dapat memahami nilai, adat dan pemikiran orang terdahulu. Prosa tradisional terbahagi kepada dua bentuk iaitu sastera rakyat dan sastera istana. 


 A.   ASastera Rakyat

Sastera Rakyat merupakan satu hasil karya sastera tertua yang pada asalnya disampaikan secara lisan dan hanya berkisar dalam kelompok masyarakat tertentu. Rakyat pula bermaksud orang awam yang ditadbir oleh suatu pemerintah negara dan menjadi unsur penting dalam pemerintahan. Oleh itu, dapatlah disimpulkan bahawa sastera rakyat ialah sebuah karya sastera yang dihasilkan berdasarkan kehidupan orang biasa dan disampaikan secara lisan. Berdasarkan gambar rajah di bawah, sastera rakyat dapat dibahagikan kepada dua bentuk iaitu naratif dan bukan naratif. 



Naratif terbahagi kepada dua bentuk, iaitu naratif lisan dan naratif tulisan. Naratif lisan merupakan karya naratif dalam kesusasteraan Melayu tradisional yang diwarisi oleh masyarakat melalui penyampaian secara lisan daripada satu generasi ke generasi lain.



Naratif lisan dapat dibahagikan kepada tiga kategori utama, iaitu mitos, legenda dan cerita rakyat. Sementara itu, cerita rakyat pula terdiri daripada beberapa jenis. Antaranya ialah cerita binatang, cerita dongeng, cerita jenaka, serta pelbagai bentuk cerita lisan lain.


Bentuk Naratif Lisan:

  • Mitos

Mitos ialah cerita zaman dahulu yang mengisahkan mengenai manusia, makhluk dan perkara luar biasa yang di luar logik pemikiran manusia. Mitos terbahagi kepada dua jenis, iaitu mitos pembukaan sesuatu tempat dan asal usul, misalnya tentang peristiwa pembukaan negeri Melaka dan mitos ketokohan seseorang, misalnya Raja Iskandar Zulkarnain. Biasanya, cerita-cerita ini tidak dapat dikesan pengarangnya dan diwarisi daripada satu generasi ke generasi yang lain. Antara ciri-ciri mitos ialah kepercayaan bahawa mitos benar-benar berlaku serta mengandungi peristiwa luar biasa yang dianggap penting. Selain itu, mitos sering dikaitkan dengan unsur keramat dan memberi kesan mendalam kepada masyarakat. Latar belakang mitos biasanya berkaitan latar masa iaitu zaman lampau dan tokoh utama yang terlibat dalamnya terdiri daripada Tuhan atau dewa-dewa.

Contoh Mitos Nyi Roro Kidul:




  • Legenda

Legenda ialah satu cerita yang mengisahkan satu-satu tempat atau peristiwa zaman silam. Legenda juga mengisahkan tentang seorang tokoh manusia yang memiliki keistimewaan seperti keberanian dan kehebatan yang luar biasa. Setiap tempat bersejarah juga memiliki legenda yang tersendiri. Misalnya di Langkawi, kisah Mahsuri yang hangat diperkatakan oleh masyarakat setempat.


Gambar di sebelah menunjukkan ilustrasi gambar Mahsuri.





  • Cerita Rakyat

Cerita rakyat ialah salah satu bentuk cerita yang terkenal dalam kalangan masyarakat yang berfungsi sebagai hiburan utama dalam komuniti tersebut. Dalam masyarakat Melayu, terdapat pelbagai jenis cerita rakyat seperti cerita binatang, cerita jenaka, cerita penglipur lara dan cerita teladan atau pengalaman. Antara ciri legenda termasuklah merupakan kisah lisan yang berasaskan cerita lama dan berkaitan dengan masa silam. Kisah ini sering dikaitkan dengan tempat tertentu, seperti makam atau binaan bersejarah, serta tokoh yang dipercayai mempunyai keistimewaan, seperti Hang Tuah. Legenda juga bersifat universal, dipercayai benar-benar berlaku dan menjadi sebahagian daripada warisan sesuatu masyarakat.




Bentuk Naratif Tulisan:

  •           Sastera Sejarah

Sastera sejarah dihasilkan berdasarkan fantasi penulis atau atas perintah seseorang, tetapi sejarah ditulis berdasarkan fakta. Sastera sejarah bermula dengan kepercayaan tentang adanya sesuatu, sedangkan sejarah sebenarnya bermula dengan pembuktian adanya sesuatu. Sebagai contoh, Hikayat Merong Mahawangsa (1991).


  •           Sastera Hikayat

Sastera Hikayat mengisahkan golongan bangsawan, pembesar-pembesar, atau para     pedagang. Sebagai contoh, Hikayat Hang Tuah.

  •           Sastera Panji

Sastera panji ialah karya sastera yang mengisahkan tentang pengembaraan, percintaan, dan peperangan. Watak utama dalam genre ini biasanya digelar sebagai panji. Sebagai contoh, Hikayat Misa Taman Jayeng Kesuma.


  •          Sastera Epik

    Sastera epik ialah karya sastera yang menceritakan tokoh pahlawan sebagai kebanggaan sesuatu bangsa. Sebagai contoh, Hikayat Hang Tuah.

  •           Sastera Agama

Sastera agama kebanyakannya menggambarkan sifat dan kehebatan cerita-cerita nabi dan dalam masa yang sama menyampaikan dakwah. Sebagai contoh, dalam Hikayat Bulan Berbelah.


Bentuk Bukan Naratif:

Prosa tradisional bukan naratif merujuk kepada hasil kesusasteraan yang tidak mempunyai jalan cerita tertentu. Prosa ini lebih bersifat fakta atau peraturan yang berfungsi sebagai panduan kepada masyarakat.

B.   Sastera Istana

Sastera istana ialah karya sastera dalam bentuk penulisan. Sastera tulisan ini mula diperkenalkan setelah penerimaan agama Islam pada abad ke-15 dan berkembang di dalam istana. Sebagai contoh, syair Siti Zubaidah.


2. Prosa Moden

   Hasil karya sastera yang dihasilkan selepas 1800 Masihi dikenali sebagai prosa moden. Pembahagian dari segi masa ini berlaku semata-mata untuk memudahkan kita memahami bentuk dan perbezaan dalam sastera Melayu. Berdasarkan gambar rajah di bawah, terdapat tiga bentuk prosa moden iaitu cerpen, novel dan drama. 



  • Cerpen

Cerpen ialah gabungan dua perkataan iaitu cerita pendek dan apabila digabungkan menjadi cerpen. Cerpen ialah karya sastera berbentuk prosa yang mengisahkan cerita rekaan dalam bentuk yang ringkas. Panjang cerpen biasanya antara 500 hingga 15,000 patah perkataan dan mempunyai kesatuan dalam aspek tema, latar, watak, serta gaya penceritaan.

    Sebuah cerpen biasanya memfokuskan kepada satu watak utama yang mengalami sesuatu peristiwa dalam jangka masa yang singkat. Latar tempat dalam cerpen juga terhad dan jalan ceritanya tidak terlalu kompleks. Walaupun ringkas, cerpen mampu menyampaikan mesej yang mendalam kepada pembaca kerana gaya penulisannya yang padat dan bermakna. Antara karya cerpen yang popular ialah cerpen Asap di Bawah Daun karya Zaharah Nawawi.

    Ciri-ciri cerpen termasuklah cerpen biasanya menampilkan satu tema utama serta kesatuan dalam kesan. Ceritanya disusun dengan mengangkat kejadian utama yang terperinci serta memiliki plot, watak dan latar yang terhad. Selain itu, cerpen juga menekankan unsur-unsur dramatic supaya dapat meningkatkan daya tarikannya.


  • Novel

Novel merupakan sebuah karya sastera berbentuk prosa yang panjang dan berbentuk cerita rekaan. Kisah dalam novel boleh dihasilkan berdasarkan peristiwa sebenar atau bersifat imaginatif. Berbeza dengan cerpen, novel mempunyai watak yang lebih banyak serta jalan cerita yang lebih kompleks.

    Dalam novel, penceritaan biasanya disusun mengikut pola tertentu dan merangkumi pelbagai peristiwa yang berkembang daripada satu babak ke babak yang lain. Latar tempat dan masa dalam novel juga tidak terhad yang membolehkan pengarang mengembangkan cerita dengan lebih mendalam. Oleh itu, novel sering menjadi medium yang berkesan untuk menyampaikan cerita dalam pelbagai tema dan nilai kehidupan kepada pembaca. Sebagai contoh, novel bertajuk Salina yang ditulis oleh A. Samad Said.

    Antara ciri-ciri novel ialah prosa panjang yang mengandungi satu tema utama serta beberapa persoalan. Jalan ceritanya menggambarkan kejadian luar biasa yang berlaku dalam kehidupan manusia. Kandungan novel biasanya berkisar tentang perjuangan hidup, pergelutan antara keadilan dan penindasan, serta konflik antara manusia, alam, ketuhanan dan emosi masyarakat. Novel juga menggabungkan unsur realiti dengan imaginasi bagi menjadikan cerita yang lebih menarik.



  • Drama

Drama merupakan sebuah bentuk penceritaan yang disampaikan melalui lakonan pelakon di atas pentas atau skrin. Setiap watak memainkan peranan tertentu bagi menghidupkan jalan cerita.

    Dalam drama, aksi dan dialog menjadi elemen penting untuk menyampaikan mesej kepada penonton. Skrip disusun dengan teliti bagi memastikan lakonan dapat dipersembahkan dengan berkesan. Oleh kerana drama dipertontonkan secara langsung, tempohnya tidak boleh terlalu panjang agar penonton tetap terhibur dan fokus terhadap penceritaan. Drama yang menarik bukan sahaja memikat perhatian tetapi mampu meninggalkan kesan mendalam kepada penonton.

    Antara ciri-ciri drama ialah drama merupakan sejenis prosa moden yang dihasilkan dalam bentuk naskhah untuk dibaca dan dipentaskan. Naskhah drama boleh ditulis dalam bentuk prosa atau puisi, bergantung pada gaya dan penyampaian yang pengarang tentukan. Dalam sesebuah drama, dialog memainkan peranan utama kerana dialog digunakan untuk menyampaikan pemikiran pengarang melalui watak-watak yang diwujudkan.

    Selain itu, konflik merupakan elemen penting dalam drama kerana konflik menjadi pendorong utama kepada perkembangan plot. Watak-watak dalam drama bertindak menggerakkan konflik. Hal ini menjadikan jalan cerita lebih menarik dan berkesan. Sesebuah skrip yang tidak mempunyai konflik yang jelas sukar dianggap sebagai drama yang baik kerana konflik mencipta ketegangan dan menarik perhatian penonton.

    Gaya bahasa juga memainkan peranan penting dalam drama. Penggunaan bahasa yang sesuai bukan sahaja membantu dalam menggambarkan latar masa dan tempat, malah turut mencerminkan sosiobudaya masyarakat yang ingin dipaparkan oleh pengarang.


      3. Puisi tradisional

     Puisi merupakan salah satu karya sastera yang tertua dan istimewa di dunia. Puisi tradisional terdiri daripada pelbagai jenis seperti pantun, syair, gurindam, seloka, talibun, mantera, adat perbilangan dan peribahasa. Namun begitu, terdapat empat puisi tradisional yang lebih diberi tumpuan, iaitu pantun, syair, seloka dan gurindam.



  • Pantun

Pantun merupakan warisan sastera masyarakat Melayu yang mempunyai irama merdu. Pantun digunakan untuk menyatakan kasih sayang, penghargaan, serta sindiran. Menurut A. Halim Ali, Mohd Rosli Saludin dan Mana Sikana (2011) menjelaskan pantun lisan Melayu merupakan alat untuk menggambarkan minda, pemikiran serta pandangan hidup bangsa Melayu. Biasanya, pantun didahului dengan pembayang sebelum maksud. Selain itu, pantun memiliki rima akhir dan pola tertentu. Terdapat pelbagai jenis pantun. Antaranya ialah pantun nasihat, pantun jenaka dan pantun teka-teki. Dari segi bentuk, pantun boleh terdiri daripada dua kerat, empat kerat, enam kerat, atau sehingga 12 kerat. Antara ciri pantun ialah terdiri daripada rangkap-rangkap yang berasingan dan setiap rangkap boleh berdiri sendiri sebagai satu kesatuan idea serta terdiri daripada baris-baris yang sejajar dan berpasangan.

Cara Membaca Pantun dengan Intonasi yang Betul


  • Syair

Syair ialah sejenis puisi dengan unsur lagu yang berasal dari Parsi. Syair telah diubah agar sesuai dengan bahasa Melayu klasik. Bentuknya terikat dengan setiap rangkap syair terdiri daripada empat baris. Setiap baris pula mempunyai antara empat hingga lima patah perkataan dengan jumlah suku kata antara lapan hingga dua belas. Rima akhirnya berbentuk a-a-a-a, dan syair biasanya mengandungi kisah, buah fikiran, nasihat, serta pujian. Antara ciri syair ialah syair disusun dalam bentuk rangkap yang setiap barisnya saling berkaitan yang membentuk satu jalan cerita atau pemikiran yang berterusan dan syair juga mengandungi unsur penceritaan, nasihat, pengajaran, atau pujian mengikut tujuan penyampaiannya.

Contoh Syair dalam Irama Dodoi


  • Seloka

Menurut Kamus Dewan edisi ke-4, seloka ialah sejenis puisi yang mengandungi ajaran seperti sindiran mahupun jenaka. Kata seloka berasal dari bahasa Sanskrit iaitu ‘Sloka’. Seloka biasanya berbentuk karangan berangkap yang mempunyai irama serta disertai bidalan, peribahasa, dan unsur seumpamanya. Namun, dalam seloka juga terdapat pengajaran yang baik. Bentuknya menyerupai pantun dan syair tetapi lebih bebas dalam struktur. Contoh seloka yang terkenal ialah Seloka Pak Pandir dan Seloka Emak Si Randang. Seloka ialah puisi tradisional Melayu yang berbentuk bebas iaitu tidak mempunyai bentuk tertentu dari segi rangkap, jumlah baris dan sama ada mempunyai irama ataupun tidak. Seloka kebiasaannya ditulis dalam dua atau empat baris dan terkadang seloka juga ditulis lebih dari empat baris. Antara ciri seloka ialah mengejek, menyindir secara serius atau jenaka mahupun mengkritik tingkah laku dan sifat negatif seseorang ataupun sekelompok masyarakat.

Contoh Seloka: Seloka Pak Kaduk


  •  Gurindam

Gurindam ialah satu bentuk puisi melayu yang terdiri daripada dua baris yang berpasangan, bersajak atau berirama dan memberi idea yang lengkap atau sempurna dalam pasangannya. Baris pertama gurindam dipanggil syarat(protasis) dan baris kedua dipanggil jawab(apodotis). Puisi ini mula diperkenalkan pada tahun 1846 oleh Raja Ali Haji melalui karyanya yang berjudul Gurindam Dua Belas. Antara ciri gurindam ialah penulisannya mempunyai bentuk yang terikat dengan setiap rangkap terdiri daripada dua baris. Setiap baris pula mengandungi 8 hingga 12 suku kata serta menggunakan pola rima akhir a-a. Gurindam sering kali menggunakan bahasa yang padat dan bermakna untuk menyampaikan pengajaran, nasihat, pernyataan, serta perasaan cinta secara ikhlas. 

Contoh Gurindam: Gurindam 12 Fasal 12


                     4. Puisi Moden

Puisi moden merupakan puisi yang bebas daripada sebarang ikatan yang terdapat dalam puisi tradisional. Dalam puisi moden, terdapat satu jenis puisi sahaja iaitu sajak. Sajak menitikberatkan penyampaian makna melalui pemilihan kata-kata dan ayat yang sesuai. Sajak lahir daripada jiwa yang tulus serta membawa gagasan pemikiran yang boleh menjadi renungan bagi masyarakat yang membacanya. Selain itu, penulis mempunyai hak terhadap karyanya, dan namanya akan disertakan, sama ada menggunakan nama sebenar atau nama samaran.

    Sajak memiliki ciri-ciri khas yang tersendiri. Antaranya ialah sajak tidak mempunyai imbangan bunyi yang tetap. Struktur sajak juga tidak terikat dengan jumlah baris tertentu dalam setiap rangkap. Bilangan baris dalam sesuatu rangkap boleh berbeza-beza mengikut kehendak penulis. Walaupun sajak mempunyai kebebasan daripada segi bentuk, keindahan dan keharmonian antara isi dengan bahasa tetap dijaga agar mesej yang disampaikan dapat difahami dan dihayati dengan baik oleh pembaca.

Contoh Sajak: Sajak Merdeka


Ciri-Ciri Kesusasteraan Melayu

Terdapat 4 ciri-ciri dalam kesusasteraan Melayu. Antaranya ialah keindahan, mencerminkan pengalaman, pengalaman seni dan karya seni.

     1. Keindahan

Keindahan dalam kesusasteraan Melayu dapat dilihat dengan jelas melalui gaya dan lenggok bahasa yang digunakan dalam karya tersebut. Terdapat empat syarat yang perlu dipenuhi oleh karya sastera sebelum dinilai keindahannya, iaitu keutuhan, keselarasan, keseimbangan, dan fokus kepada sesuatu unsur.

           2.  Mencerminkan Pengalaman

Pengalaman dalam sesebuah karya sastera disampaikan melalui bahasa yang digunakan. Dalam konteks ini, pengalaman merujuk kepada tindak balas mendalam daripada jiwa manusia yang digambarkan secara realistik. Kebiasaannya, penulis karya sastera menggunakan pengalaman mereka sendiri sebagai idea utama untuk menghasilkan karya mereka supaya dapat memberikan kesan yang lebih realistik kepada pembaca.

           3. Pengalaman Seni

Nilai seni dalam karya sastera dapat dilihat melalui isi yang disampaikan, cara dan bentuk penyampaiannya. Karya sastera juga membolehkan pembaca memahami dan merasai fikiran serta perasaan penulis. Perkara ini hanya terjadi apabila pembaca benar-benar menghayati karya yang dibacanya. Oleh itu, pembaca dapat memperoleh pengalaman dan menghargai nilai seni dalam karya tersebut. Penulis juga akan berasa puas hati dan gembira apabila hasil karya mereka diterima dengan baik oleh para pembaca.

            4.  Karya Seni

Karya sastera merupakan karya seni. Terdapat tiga perkara yang dapat membezakannya daripada karya bukan sastera, iaitu unsur fiksyen, nilai estetik dan penggunaan gaya bahasa yang khas. Unsur fiksyen merujuk kepada karya sastera yang dihasilkan melalui imaginasi penulis berdasarkan pengalaman peribadi. Selain itu, penulis dapat menzahirkan isi hati mereka dengan jelas dan mendalam menggunakan nilai-nilai estetik.


3.0 Fungsi kesusasteraan Melayu dalam aspek hiburan, pendidikan, dakwah dan kritikan sosial

Sastera terhasil daripada keinginan dan kesedaran pengarang atau masyarakatnya untuk berkongsi maklumat dan perkara-perkara yang berkaitan dengan kehidupannya. Mereka menggunakan sumber daripada persekitaran, pengalaman, pemerhatian atau pembacaannya sebagai ilham untuk berkongsi sesuatu yang menarik. Oleh itu, sesebuah karya sastera tidak dihasilkan tanpa tujuan atau sebab. Sesuatu yang ditunjukkan dalam karya sastera mempunyai fungsinya yang tersendiri. Fungsi kesusasteraan Melayu jelas dapat dilihat dalam aspek hiburan, pendidikan, dakwah dan kritikan sosial seperti dalam rajah di bawah.




           1. Hiburan

Kesusasteraan Melayu berfungsi sebagai hiburan kepada pembaca. Sebagai seorang manusia, kita ada masanya perlu berhibur. Kita juga sering menonton televisyen dan membaca komik bagi menghiburkan hati serta menenangkan jiwa. Keperluan kepada hiburan inilah yang telah menghasilkan karya sastera yang membawa kepada keseronokkan. Karya sastera menjadi alat hiburan yang terbaik dan disampaikan secara lisan kepada pendengar.

    Sebagai contoh, pantun merupakan karya sastera yang sangat popular kerana keupayaannya menyampaikan keindahan yang menghiburkan. Hal ini berpunca daripada:

  • Rentak dan rima yang tersusun membentuk irama dalam pantun.
  • Pantun memiliki struktur bacaan tersendiri yang mencipta keindahan dalam pembacaan.
  • Pantun disampaikan dalam pelbagai variasi yang dapat meningkatkan nilai hiburannya, seperti dalam lirik dikir barat di Kelantan, lirik lagu popular dan sebagainya.

    Kesimpulannya, keupayaan pantun untuk terus bertahan sebagai karya sastera yang popular membuktikan bahawa unsur hiburan sangat dominan dalam pantun.

           2. Pendidikan

Melalui pengalaman, pelbagai ilmu, nilai dan pengajaran dapat diperoleh. Individu yang menghasilkan sastera Melayu pastinya seorang insan yang telah melalui pelbagai pengalaman dalam kehidupannya. Pengarang atau penulis karya semestinya memiliki dan mendalami ilmu pengetahuan yang menjadikan karya mereka lebih bermutu.

    Fungsi lain karya sastera adalah untuk memberi pengajaran dan nasihat atau pesanan kepada masyarakat. Karya sastera merupakan suatu bahan berkualiti yang dapat membawa kesedaran kepada masyarakat, mengubah pemikiran serta membuka ruang dan peluang kepada masyarakat untuk menyerap nilai-nilai moral yang dibawa dalam sastera. Misalnya, cerita Sang Kancil dengan Buaya yang terkenal bukan hanya kerana unsur hiburannya, tetapi kerana kemampuannya dalam menyampaikan nilai moral dan pengajaran yang bermanfaat kepada masyarakat. Tanpa disedari, kita dibesarkan dengan nilai-nilai moral yang ditunjukkan melalui cerita tersebut. Bottom of Form

           3. Dakwah

Sastera Melayu berfungsi sebagai medium dakwah dengan memanfaatkan karya sastera sebagai platform untuk meningkatkan ketakwaan dan keimanan individu kepada penciptanya. Karya sastera membawa nilai-nilai Islam seperti amanah, keimanan, dan ketakwaan kepada Allah. Selain itu, sastera Melayu boleh menjadi wadah dalam menelusuri kisah para nabi, ulama dan tokoh agama. Nilai dakwah dalam sastera Melayu disampaikan kepada masyarakat melalui bacaan dan pendengaran. Sebagai contoh, Syair Perahu ialah salah satu karya sastera dakwah yang menyampaikan peringatan tentang kematian dan azab Allah di akhirat.

           4. Kritikan Sosial

Karya sastera sering menggambarkan realiti kehidupan masyarakat dalam pelbagai aspek. Sastera Melayu berperanan sebagai wadah untuk mengkritik masyarakat mengenai pelbagai isu yang berlaku dalam kehidupan termasuklah dalam aspek akhlak, agama mahupun sosial. Kritikan sosial dalam sastera berfungsi untuk menilai serta membandingkan sesuatu keadaan dalam masyarakat, sama ada yang baik atau buruk. Selain itu, kritikan sosial juga berperanan sebagai teguran dan panduan untuk memperbaiki keadaan masyarakat. Kritikan sosial ini dikatakan penting kerana dapat memelihara sistem sosial masyarakat kita. Sebagai contoh, cerita Mat Jenin. Penulis telah mengkritik golongan yang gemar berangan-angan tanpa diikuti dengan usaha pastinya tidak akan berjaya.


4.0 Manifestasi Akal Budi Masyarakat Melayu

Kamus Dewan Edisi Keempat (2017) mentakrifkan manifestasi sebagai tindakan yang menampilkan sesuatu atau menjadikannya nyata. Akal bermaksud pemikiran, manakala budi membawa erti kebijaksanaan. Oleh itu, manifestasi akal budi merujuk kepada proses merealisasikan sesuatu melalui pemikiran yang bijaksana. Terdapat 4 aspek yang dapat dilihat dalam manifestasi akal budi masyarakat Melayu seperti dalam gambar rajah di bawah.


4.1  Manifestasi Akal Budi Masyarakat Melayu dalam Pantun Tradisional Melayu

Menurut tokoh wartawan Malaysia ke-12, Yang Berbahagia Tan Sri Johan Jaaffar, dalam satu perkongsiannya sempena sambutan ulang tahun ke-10 Bangunan Perpustakaan Tunku Tun Aminah (PTTA), UTHM, menerusi program bertajuk Mencari Kebijaksanaan: Kajian Pantun Pak Ungku Abdul Aziz, beliau menyatakan bahawa pantun merupakan cerminan sebenar masyarakat Melayu. Gubahan dan pemilihan kata yang tepat dalam pantun Melayu jelas menunjukkan kebijaksanaan pemikiran orang Melayu. Pemilihan kata yang digunakan dapat menggambarkan kehidupan dan cara hidup orang Melayu. Beliau juga menyatakan bahawa pantun merupakan seni sastera yang ringkas tetapi mempunyai makna yang mendalam. Pantun bukan berasal dari sastera bangsawan atau istana. Pantun ialah karya sastera yang lahir daripada kreativiti rakyat biasa yang kebanyakannya terdiri daripada petani, nelayan dan pelaut. Mereka ini merupakan golongan yang rata-ratanya tidak berpendidikan. Namun, kebijaksanaan golongan ini boleh dilihat dalam pengamatan alam sekitar dan pengetahuan mereka yang luar biasa tentang flora dan fauna. Jelaslah, pantun merupakan manifestasi terbaik seni sastera orang Melayu. 


Pantun 1:


Pantun ini menggambarkan kepentingan budi pekerti dan nilai keikhlasan dalam kehidupan berbanding kemewahan atau penampilan luaran. Berdasarkan pembayang pantun di atas, aspek pemikiran pantun dijelaskan melalui pemilihan diksi yang berkaitan dengan alam, iaitu buah nanas dan ubi.

    Nanas berbau harum apabila masak. Nanas diibaratkan seperti emas yang menarik perhatian manusia kerana keharuman dan keistimewaannya. Sebaliknya, ubi dikaitkan dengan sifat orang berbudi yang rendah hati dan tidak suka menonjolkan kehebatan diri sama seperti ubi yang berisi tetapi tetap berada di dalam tanah. Aminuddin Mansor (2015) menegaskan orang yang berbudi ialah orang yang bijaksana, pandai, baik tingkah laku serta perangainya.

    Pantun yang diberikan turut membawa mesej yang serupa. Dalam realiti kehidupan masyarakat, seseorang lebih cenderung menghargai sesuatu yang kelihatan bernilai di mata mereka, seperti emas yang melambangkan kekayaan dan status, berbanding budi yang sering tidak dipandang sebelah mata. Namun, masyarakat Melayu percaya bahawa nilai berbudi tetap tinggi dan akan dikenang, meskipun tidak selalu mendapat pengiktirafan segera. 

    Ketinggian akal budi dalam pantun ini jelas dapat dilihat melalui cara penyampaian nasihat yang menekankan kepentingan budi. Nilai budi dianggap lebih tinggi berbanding emas, namun konsep ini diterangkan secara tersirat dalam pembayang pantun melalui perbandingan antara nanas dan ubi. 

    Nanas menarik perhatian kerana warnanya yang menarik dan rasanya yang enak. Namun, dalam kehidupan sebenar, ubi lebih memberi manfaat berbanding nanas. Perbandingan ini menggambarkan bahawa budi lebih berharga daripada harta benda seperti emas.

    Kesimpulannya, akal budi masyarakat Melayu dalam pantun ini mengajar bahawa kita sebagai manusia tidak seharusnya hanya mengejar sesuatu berdasarkan luaran semata-mata, tetapi lebih penting untuk menghargai nilai-nilai murni seperti budi pekerti dan kesederhanaan.


Pantun 2:


Pantun di atas menggambarkan keinginan seseorang yang masih ingin belajar. Pantun ini sangat popular dalam kalangan masyarakat Melayu, terutamanya bagi mereka yang ingin menimba ilmu dan memperbaiki diri. Dari sudut pemikiran, pantun ini menggunakan buah cempedak sebagai simbol utama. Buah cempedak dikenali dengan bau dan aroma yang kuat dan mampu menarik perhatian ramai.

 Pada pendapat saya, buah cempedak dalam pembayang pantun sebenarnya melambangkan ilmu yang bernilai dan perlu dipelajari oleh setiap individu. Dalam aspek pertuturan, pantun ini menekankan kepentingan kesopanan dan adab yang tinggi, terutamanya melalui penggunaan perkataan “tolong.” Penggunaan kata ini menunjukkan budi bahasa seseorang akan menjadikannya lebih dihormati.

    Pantun ini secara tersirat menggambarkan budaya gotong-royong dan tolong-menolong dalam kehidupan seharian. Baris "Buah cempedak di luar pagar, Ambil galah tolong jolokkan" membawa maksud bahawa manusia perlu saling membantu untuk memperoleh kejayaan. Sama seperti proses menuntut ilmu, seseorang tidak dapat berjaya tanpa bimbingan dan sokongan daripada orang lain. Budaya bantu-membantu ini merupakan tunjang dalam masyarakat Melayu yang menitikberatkan semangat kebersamaan dan kerjasama.

    Selain itu, pantun ini jelas menekankan sikap rendah diri dan kesediaan untuk menuntut ilmu. Baris "Saya budak baru belajar" jelas menunjukkan keikhlasan seseorang dalam mengakui kekurangan diri dan keinginannya untuk terus belajar bagi memperbaiki diri. Dalam budaya Melayu, seseorang yang hendak menambah ilmu pengetahuan harus bersikap terbuka serta bersedia menerima tunjuk ajar daripada mereka yang lebih berpengalaman.

    Selain itu, pantun ini juga mengandungi nilai hormat-menghormati dalam menuntut ilmu. Baris "Kalau salah tolong tunjukkan" jelas menunjukkan kesediaan seseorang untuk ditegur apabila melakukan kesilapan. Dalam masyarakat Melayu, menghormati guru, orang tua dan mereka yang lebih berpengetahuan ialah satu prinsip yang ditekankan sejak kecil. Sikap ini bukan sahaja mencerminkan kehalusan budi, malah turut menunjukkan kepentingan nilai adab dalam kehidupan bermasyarakat.

   Kesimpulannya, pantun ini menekankan sikap rendah diri dan berusaha dalam menuntut ilmu. Janganlah kita berasa malu untuk mengakui kejahilan kerana lebih baik belajar daripada terus berada dalam kejahilan, seperti buah yang dipetik tanpa ilmu akhirnya rosak dan jatuh ke tanah.


Pantun 3:


Manifestasi akal budi dalam pantun di atas dapat dilihat melalui aspek pemikiran. Pembayang pantun menggambarkan bahawa kain batik tanpa suji tidak mempunyai nilai atau keindahan yang sempurna. Sebaliknya, kain batik yang bersuji lazimnya dihiasi sulaman benang emas. Hal ini menjadikannya lebih cantik dan bernilai. Pemikiran masyarakat dalam pantun ini menekankan bahawa jika ingin membeli kain batik, sebaiknya pilihlah yang bersuji kerana nilainya yang lebih tinggi.

    Begitu juga dalam kehidupan, jika seseorang ingin mencari pasangan hidup, janganlah hanya menilai kecantikan semata-mata, tetapi utamakan budi pekerti. Hal ini kerana kecantikan luaran tidak dapat menjamin keperibadian yang baik. Oleh itu, masyarakat Melayu meletakkan akhlak dan budi sebagai faktor utama dalam memilih pasangan.

    Selain itu, pantun ini juga menyindir kaum lelaki yang memilih isteri berdasarkan rupa paras semata-mata tanpa mengambil kira akhlak dan adabnya. Masyarakat diajar agar tidak hanya terpesona dengan kecantikan luaran, tetapi lebih menghargai keperibadian seseorang. Wanita pula diingatkan supaya tidak terlalu mengejar kecantikan fizikal sehingga mengabaikan akhlak dan budi pekerti yang lebih penting dalam kehidupan.

    Secara keseluruhannya, pantun ini mencerminkan akal budi masyarakat Melayu yang menjunjung tinggi nilai kesopanan, adab dan budi pekerti dalam kehidupan.


Pantun 4:


Pantun di atas mengandungi mesej yang mendalam tentang keseimbangan dalam berbuat baik serta larangan untuk melakukan kejahatan.

    Dua baris pertama dalam pantun ini berperanan sebagai pembayang. Baris "Orang Daik memacu kuda" dan "Kuda dipacu deras sekali" menggambarkan tindakan seseorang yang menunggang kuda dengan laju. Dari sudut makna yang lebih mendalam, perbuatan ini membawa maksud bahawa dalam kehidupan, sesuatu yang dilakukan secara tergesa-gesa dan berlebihan tanpa kawalan boleh mendatangkan kesan buruk. Sama seperti memacu kuda tanpa kawalan boleh membawa bahaya, setiap tindakan dalam hidup juga perlu dilakukan secara berpada-pada.

    Sementara itu, maksud pantun yang sebenar terletak pada dua baris terakhir. "Buat baik berpada-pada" membawa makna bahawa dalam berbuat kebaikan, seseorang perlu berhati-hati dan tidak melampaui batas hingga merugikan diri sendiri. Masyarakat Melayu menekankan konsep kesederhanaan dalam segala hal, termasuk dalam kebaikan. Jika seseorang terlalu baik tanpa pertimbangan, dia mungkin mudah ditipu atau dipergunakan oleh orang lain. Dalam kehidupan seharian, prinsip ini amat penting untuk dipraktikkan agar seseorang tidak mudah diperalat atau dieksploitasi.

    Baris terakhir, "Buat jahat jangan sekali", pula memberikan nasihat tegas agar tidak melakukan kejahatan. Masyarakat Melayu amat mementingkan nilai moral dan adab dalam kehidupan. Kejahatan bukan sahaja mencerminkan akhlak yang buruk, malah boleh mendatangkan akibat negatif kepada diri sendiri dan masyarakat. Nilai ini selari dengan prinsip Islam yang menekankan kepentingan menjauhi perbuatan mungkar serta menjaga hubungan baik sesama manusia.

    Kesimpulannya, pantun ini memperlihatkan kebijaksanaan masyarakat Melayu dalam menyampaikan ajaran hidup melalui bahasa yang indah dan berirama. Nilai-nilai seperti kesederhanaan dalam berbuat baik dan larangan untuk melakukan kejahatan menunjukkan betapa masyarakat Melayu menitikberatkan keseimbangan dalam kehidupan.


Pantun 5:


Pantun ini mengandungi mesej yang mendalam tentang kesetiaan dan hubungan erat antara individu, walaupun terpisah oleh jarak.

    Dua baris pertama berperanan sebagai pembayang. "Burung merpati terbang tinggi" menggambarkan burung yang terbang jauh dari tempat asalnya. Burung merpati sering dikaitkan dengan kesetiaan kerana burung ini terkenal dengan kebiasaannya kembali ke tempat asal walaupun telah mengembara jauh. Hal ini boleh mewakili seseorang yang berpisah dengan orang tersayang tetapi tetap setia dan menjaga hubungan. "Hinggap di dahan pohon jati" pula memberi gambaran tentang kestabilan dan keteguhan kerana pohon jati terkenal dengan sifatnya yang kuat dan tahan lama. Secara tersirat, frasa ini melambangkan seseorang yang telah berada jauh dari tanah air atau keluarga tetapi masih berpegang teguh pada nilai dan kepercayaan yang telah tertanam dalam diri.

   Dua baris terakhir membawa maksud yang lebih jelas. "Kalau hati sudah sehati" menekankan bahawa hubungan yang dijalin atas dasar keikhlasan dan saling memahami akan tetap utuh walaupun dipisahkan oleh jarak. "Jauh di mata dekat di hati" pula bermaksud bahawa kasih sayang sejati tidak akan luntur hanya kerana tidak dapat bersua secara fizikal. Dalam konteks masyarakat Melayu, pantun ini mencerminkan nilai kasih sayang dan kesetiaan yang tinggi, terutamanya dalam hubungan kekeluargaan, persahabatan dan percintaan.

    Secara keseluruhannya, pantun ini menggambarkan kepercayaan masyarakat Melayu terhadap erti kesetiaan dan keakraban dalam hubungan manusia. Nilai kasih sayang, kejujuran dan keikhlasan ditekankan sebagai asas penting dalam menjalinkan hubungan yang berkekalan.


5.0 Penutup

Kesimpulannya, kesusasteraan Melayu merupakan kumpulan karya penulisan yang indah dalam masyarakat Melayu. Karya-karya ini bukan sahaja mempunyai keindahan yang tersendiri, malah turut memainkan peranan penting dalam dunia seni. Antara fungsi utama karya sastera termasuklah sebagai hiburan bagi masyarakat pada zaman dahulu untuk menghilangkan rasa bosan. Selain itu, karya sastera juga berperanan dalam penyampaian dakwah serta kritikan sosial yang dapat menyedarkan masyarakat melalui pembacaan. Oleh itu, kesusasteraan Melayu menjadi wadah untuk memperlihatkan kebijaksanaan akal budi dalam masyarakat Melayu. 


Rujukan

A.Halim Ali, Mana Sikana & Rosli Saludin. (2011). Prosiding Sastera Membina
            Peradaban Bangsa. Budiman Malaysia.

Aminuddin Mansor. (2015). Akal Budi Melayu dalam Sajak dan Pantun. Universiti
            Kebangsaan Malaysia.

Dewan Bahasa dan Pustaka

Muhammad Irfan Waqiuddin Hasanudin & Muhd Norizam Jamian. (2021). Struktur
            Naratologi dan Citra Ibu dalam Cerita Legenda Si Tenggang, Si Malin Kundang,
            dan Nakhoda Manis. Jurnal Melayu, Isu Khas, 433-453. 

Nur Hikmahtul, Aiman Kamarulzaman, & Norizam Muhd Jamian. (2023). Keindahan
            Luaran Gurindam Jiwa Penawar Duka Dari Perspektif Puitika Sastera Melayu.
            https://journalarticle.ukm.my/23411/1/JK%2010.pdf

Siti Hajar Bidin. (2021). Pantun dan minda orang melayu. Berita UTHM.
            https://news.uthm.edu.my/ms/2021/07/pantun-dan-minda-orang-melayu/











G





    

Comments